Dan janganlah dipilih hidup bagai nyanyian ombak
hanya berbunyi ketika terhempas di pantai
Tetapi jadilah kamu air-bah , mengubah dunia dengan amalmu
Kipaskan sayap mu di seluruh ufuk
Sinarilah zaman dengan nur imanmu
-Muhammad Iqbal

Sunday, September 25, 2016

Pendidikan Bersepadu ke arah Modal Insan Kelas Pertama



Kekuatan bagi sebuah negara bergantung kepda warganya. Bakat insan mereka ini merupakan aset yang boleh diasah kebolehannya, disuntik nilai tambahnya, ditingkatkan nilai inteleknya serta di perkaya kebudayaannya. Pembangunan kualiti ini tidak mampu untuk berlaku secara semula jadi. Kualiti bakat insan ini harus dirancang dengan rapi, dan dilaksana dengan terus menerus sehingga dapat meningkatkan bina upaya generasi negara ke arah kualiti kelas pertama.

Oleh itu, demi mencapai hasrat melahirkan bakat insan kelas pertama ini, pendidikan memainkan peranan yang penting dalam usaha merancang dan membangunkan bakat insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan, dan berkemahiran tinggi selari dengan nilai yang digasirkan oleh Al Quran dan As Sunnah. Walau bagaimanapun, pendidikan ini tidak boleh berjalan secara terpisah-pisah. Ianya perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berintegrasi. Masyarakat perlu dilengkapkan dengan elemen yang menyeluruh merangkumi tiga fakulti keinsanan, akal, ruh dan jasamaninya.

Melihat kepada isu dan cabaran dasawarsa kini, jelas menunjukkan pendidikan yang tidak bersepadu tidak mampu untuk membantu kelestarian masyarakat untuk  mengahadapi cabaran era globalisasi kini. Pendidikan bersepadu ini haruslah sejajar dengan apa yang disyariatkan Islam. Hadirnya islam yang bersepadu dan integrasi merangkumi semua aspek kehidupan termasuk ekonomi, sosial, keilmuan, akhlak, perundangan, ketenteraan, dan segenap aspek penting kehidupan lain dapat menyelesaikan permasalahan zaman berzaman yang tidak mampu untuk diselesaikan oleh pendidikan rekaan manusia semata-mata.



Memetik kata Professor Hamka, “Tidaklah cukup kalau hanya perasaan yang mengongkong langkah manusia kalau tidak diiringi oleh pendidikan agama, kesopanan dan kemuliaan bain”. Hal ini bukanlah suatu teori tetapi ianya telah terbukti bagaimana terlahirnya suatu generasi luar biasa yang diiktiraf oleh Allah sebagai generasi terbaik manusia kerana hasil  proses pendidikan dan latihan yang bersepadu daripada asuhan baginda Rasulullah S.A.W. Kualiti mereka merobah Bilal bin Rabbah  seorang yang berstatus hamba sehingga mampu mentadbir sebgai gabenor, seorang buta, Abdullah bin Ummi Maktum menjadi askar yang berani mempertahankan agama dan negara dan banyak lagi sejarah luar biasa yang tercatat. Malah sejarah seterusnya merekod Islam melahirkan cendiakawan-cendiakawan yang bukan sahaja pakar satu bidang ilmu sahaja tetapi pelbagai ilmu lain seperti Ibnu Sina yang pakar dalam ilmu perubatan, ilmu falsafah dan ilmu kesusteraan.



Memahami perkara ini, pendidikan bersepadu yang berpandukan petunjuk islam merupakan elemen penting untuk melahirkan kualiti bakat insan kelas pertama. Justeru itu, diharapkan SEMAI kali ke-8 dan Seminar Siswazah kali ke-3 beserta hasil dapatan daripada penyelidikan yang dibentangkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan bersepadu negara demi melahirkan generasi yang memiliki kualiti bakat insan kelas pertama yang dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat.

No comments:

Post a Comment